PARIS - Tiga pemain Barcelona mendominasi pencalonan akhir bagi anugerah Pemain Terbaik Persekutuan Bola Sepak Dunia (FIFA) 2010, Ballon d'Or yang diumumkan semalam. Mereka ialah Xavi dan Andres Iniesta yang membantu Sepanyol muncul juara Piala Dunia 2010 serta Lionel Messi yang menyarung jersi Argentina.
Iniesta yang menjaringkan gol keme- nangan Sepanyol ketika menewaskan Belanda pada aksi final di Johannesburg, Julai lalu bersama-sama Xavi dan Messi, turut membantu Barcelona menjuarai Liga Sepanyol. Namun, Messi mengalami detik kegagalan pada Piala Dunia 2010 apabila dia gagal menjaringkan sebarang gol serta menyaksikan Argentina terkandas pada suku akhir setelah tewas 0-4 kepada Jerman.
Sementara itu, jurulatih Sepanyol, Vicente del Bosque yang membawa kejuaraan sulung buat negara itu berada dalam senarai akhir calon bagi anugerah Jurulatih Terbaik 2010. Dua lagi calon ialah jurulatih Barce- lona, Pep Guardiola dan jurulatih Real Madrid, Jose Mourinho yang menju- lang trofi Liga Juara-Juara bersama Inter Milan musim lalu.
Kesemua pemenang akan diumumkan dalam satu majlis khas yang akan diadakan di Zurich, Switzerland pada 10 Januari depan. Anugerah tersebut sebelum ini dianjurkan oleh sebuah majalah bola sepak Perancis tetapi kini digabungkan sekali dengan Anugerah Pemain Terbaik Tahunan FIFA. - Reuters
1 comments:
kompom dpt kt messi!
Post a Comment